top of page

PCF Sparkletots di Joo Chiat lancar program pembelajaran luar darjah termasuk jagaan haiwan

SINGAPURA: Murid-murid prasekolah Sparkletots kendalian Yayasan Masyarakat PAP (PCF) di Joo Chiat kini berpeluang untuk meneroka alam semula jadi secara lebih dekat serta mempelajari cara menjaga haiwan dengan lebih baik.


Ia sebahagian daripada program pembelajaran luar darjah yang dipertingkat, yang diperkenalkan di pusat-pusat prasekolah di Joo Chiat.


Program tersebut dilancarkan Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Edwin Tong di majlis pembukaan rasmi PCF Sparkletots@Joo Chiat.


Setelah kerja-kerja untuk memperluaskan premis tersebut selesai dijalankan pada 2020, sekolah itu kini mempunyai sebuah kawasan bermain di luar darjah yang saiznya seganda lebih luas berbanding saiz asalnya, menurut PCF Sparkletots dalam satu kenyataan pada Ahad (28 Apr).


Program yang diberi nama First Steps itu juga diharapkan dapat meningkatkan kemahiran sosial dan pergerakan kanak-kanak tersebut, dan dapat diperluaskan ke prasekolah lain di merata Singapura.


Di bawah program tersebut, murid-murid berpeluang untuk mencuba balapan berhalang (obstacle course), mempelajari mengenai penjagaan haiwan dan mengikuti laluan alam semula jadi sebagai sebahagian daripada kurikulum prasekolah mereka.


Semasa meninjau program pengendalian program tersebut, Encik Tong berkata pendidikan awal kanak-kanak yang baik boleh membawa perbezaan di sekolah dan dalam kehidupan.


Beliau turut mengumumkan satu dermasiswa baharu yang bermatlamat membantu keluarga-keluarga di Marine Parade yang mempunyai anak kecil.


Dermasiswa itu disediakan terutamanya bagi golongan yang berdepan masalah kewangan dan tidak mampu menghantar anak-anak mereka ke prasekolah.


Dermasiswa itu dibiayai oleh sebuah firma bahan api bio yang menyumbang S$300,000 kepada inisiatif berkenaan.


Butiran lanjut mengenai dermasiswa itu akan didedahkan tidak lama lagi, termasuk golongan yang layak menerimanya.



PILIHAN RAYA UMUM


Encik Tong, yang juga merupakan Anggota Parlimen bagi GRC Marine Parade, menyentuh mengenai persiapan pasukan GRC Marine Parade menjelang Pilihan Raya Umum seterusnya, yang harus diadakan selewat-lewatnya pada November 2025.


Encik Tong, yang mewakili kawasan Joo Chiat, berkata: "Kami sentiasa melakukan persiapan. Kami sentiasa bekerja di kawasan (kami). Saya dan pasukan saya giat berkhidmat kepada penduduk kami secara aktif, memastikan keperluaan mereka terjaga," ujarnya. "Ia sentiasa dilakukan."


GRC Marine Parade kekurangan seorang AP setelah mantan Speaker Parlimen Tan Chuan-Jin meletak jawatan Julai lalu disebabkan hubungan sulit yang dijalinkan dengan AP Tampines Cheng Li Hui.


Menyusuli insiden tersebut, Perdana Menteri Lee Hsien Loong mengumumkan bahawa Encik Tong akan menyelia para penduduk Kembangan-Chai Chee di kawasan undi Marine Parade Encik Tan.


AP lain di GRC Marine Parade termasuk Speaker Parlimen Seah Kian Peng, Menteri Tenaga Manusia Tan See Leng dan Encik Mohd Fahmi Aliman.


Dalam menjawab pertanyaan Mediacorp sama ada PAP akan merancakkan usaha pembinaan infrastruktur di kawasan tersebut, Encik Tong menarik perhatian mengenai insiatif-inisiatif baharu di Joo Chiat, seperti kelab masyarakat akan datang dan sebuah stesen MRT baharu di Laluan Thomson-East Coast.


Beliau menambah, pelbagai prasarana akan dinaik taraf, termasuk estet Siglap dan Frankel di bawah program penambahbaikan estet Kementerian Pembangunan Negara.

bottom of page