PEMIMPIN agama memainkan peranan penting dalam kehidupan ramai warga Singapura dan mereka juga perlu dilengkapkan dengan keupayaan untuk menyokong individu yang menghadapi cabaran kesihatan mental.
Bagi memenuhi keperluan tersebut, sebuah program yang bertujuan melengkapkan pemimpin agama dengan kemahiran pencegahan bunuh diri telah dilancarkan bagi membantu peserta mengenal pasti dan memahami tindakan serta sikap individu yang cenderung ke arah bunuh diri.
Program Pencegahan Bunuh Diri The Gatekeepers yang dilaksanakan oleh badan amal Character and Leadership Academy itu juga antara lain menyediakan latihan bagi menghulurkan bantuan kepada individu yang mengalami masalah emosi dan tekanan.
Pengarah eksekutif pembangunan belia badan amal tersebut, Encik Delane Lim, berkata semua masyarakat beragama memainkan peranan penting dalam menyemai harapan dalam diri anggotanya.
Beliau menambah: "Harapan ini yang membantu mereka mencegah bunuh diri. Sememangnya penting bagi kita semua sebagai satu masyarakat untuk melengkapkan diri bagi membantu seseorang sebagai pelindung kehidupan mereka.
"Jika agama boleh berikan makna kepada kehidupan orang lain, sememangnya agama juga boleh mendorong mereka untuk terus hidup," katanya.
Program tersebut merangkumi bengkel fizikal atau virtual yang meliputi kajian terhadap kes-kes, senario yang dilakonkan serta kuiz.
Encik Lim turut menambah badan amal tersebut menyasarkan untuk melaksanakan program tersebut bagi pertubuhan khidmat sosial lain yang berasaskan agama dalam masa terdekat.
Menyentuh tentang usaha sedemikian, pensyarah bebas Ustazah Syariati Sulaiman berkata asatizah perlu melengkapi diri dengan kemahiran kaunseling atau dalam membantu individu menghadapi masalah seperti keinginan untuk bunuh diri.
"Sebagai asatizah hari ini, peranan kita bukan sahaja tertakluk kepada mendidik dan mengongsi ilmu berkaitan agama sahaja.
"Kita perlu meluaskan pengetahuan kita untuk merangkumi kemahiran dalam membantu masyarakat menghadapi isu-isu kontemporari, ini termasuk kemahiran kaunseling," katanya.
Ini kerana asatizah seringkali perlu berdepan dengan individu yang memerlukan bantuan dan panduan untuk mengatasi masalah emosi dan mental yang dihadapi, dan ini termasuk fikiran yang terkait dengan keinginan untuk bunuh diri.
Real the full article here.
Comments